Peminat Setiaku

Monday 29 October 2012

Soalan Kuiz 10

SOALAN KUIZ PERIBAHASA 10


Jawab soalan berikut:




Tidak perlu kita bertengkar lagi kerana tidak menguntungkan sesiapa ___________.



A.    kalah jadi abu, menang jadi arang
B.    gunting dalam lipatan
C.   bulan dipagari bintang
D.   anak ayam kehilangan induk

Soalan Kuiz 9


1   SOALAN KUIZ PERIBAHASA 9

    Jawab soalan berikut:


     
   Usah kamu membaiki radio itu jika kamu tidak tahu akan    caranya, kelak _______ jadinya.

A.    seperti lembu dicicik hidung
B.    seperti mendukung biawak hidup
C.   seperti tikus membaiki labu
D.   seperti pelita kehabisan minyak

Tuesday 23 October 2012

Soalan Kuiz 8

SOALAN KUIZ PERIBAHASA 8


Nyatakan makna simpulan bahasa berikut dan berikan contoh ayat.



Diam besi


Teruskan mencuba!

Soalan Kuiz 7

SOALAN KUIZ PERIBAHASA 7


Berikan makna bidalan yang berikut dengan contoh ayatnya sekali.



Lembu dogol jangan dibalun


Teruskan usaha untuk menjawab kuiz sambil belajar.

Soalan Kuiz 6

SOALAN KUIZ PERIBAHASA 6


Nyatakan makna perumpamaan berikut dan berikan contoh ayat.



Umpama ayam menetas anak itik, anaknya itu ke air juga


Teruskan menjawab!

Monday 22 October 2012

Soalan Kuiz 5

SOALAN KUIZ PERIBAHASA 5

Berikan makna pepatah berikut dengan contoh ayatnya sekali.

Intan itu jika terbenam di pelimbahan sekalipun, tiada akan hilang cahayanya.


Soalan Kuiz 4

Assalamualaikum soalan kuiz berikutnya.


SOALAN KUIZ PERIBAHASA 4 

Berikan satu contoh perumpamaan beserta makna dan ayatnya.


Teruskan mencuba!!!

Soalan Kuiz 3

SOALAN KUIZ PERIBAHASA 3


Berikan satu contoh Pepatah beserta makna dan contoh ayat.



Selamat mencuba semua.

Baca Nota.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Buat anak-anak murid cikgu yang nak menyertai kuiz peribahasa, senang saja.  Baca nota-nota yang telah cikgu beri pada Nota dan Pembelajaran Peribahasa ( tengak pada labels ).  Simpulan bahasa, bidalan, pepatah dan perumpamaan tak sama. Ada bezanya.


Selamat belajar dan menjawab soalan kiuz!

Soalan Kuiz 2

SOALAN KUIZ PERIBAHASA 2


Berikan satu contoh Bidalan beserta makna dan contoh ayat.


Selamat mencuba.

p/s: Dua orang murid yang menjawab dengan cepat dan betul akan dipilih sebagai pemenang.

Soalan Kuiz 1

SOALAN KUIZ PERIBAHASA 1


Berikan satu contoh Simpulan Bahasa beserta makna dan contoh ayat.

Contoh:

Telinga Lintah
Ertinya:  Pendengaran yang tajam
Ayat    :  Jika bercakap tentang keburukannya, eloklah berhati-hati kerana dia itu
               telinga lintah.



KUIZ PERIBAHASA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Berhubung perkara di atas, cikgu ingin mengadakan Kuiz Peribahasa bagi menguji pengetahuan murid-murid cikgu berkaitan pembelajaran Peribahasa yang telah kita pelajari sebelum ini.

Syarat-syarat Penyertaan:

  1. Kuiz ini terbuka kepada murid-murid SK. St. Patrick, Tawau.
  2. Satu soalan akan diberikan pada setiap 'entry'.  Sebanyak lima(5) 'entry' soalan akan dikemukakan.
  3. Dua orang murid yang terawal menjawab dengan betul bagi setiap soalan dikira sebagai pemenang.
  4. Murid-murid boleh menjawab semua soalan yang disediakan .  Walau bagaimanapun murid yang telah memenangi satu soalan tidak akan dipilih sebagai pemenang untuk penyertaan yang lain.  Ini bertujuan memberi peluang kepada murid-murid lain menjadi pemenang.  Namun sekiranya tidak ada penyertaan atau pemenang lain hingga tarih tutup kuiz, maka murid tersebut akan diplilih sebagai pemenang buat kali kedua. 
  5. Setiap jawapan mestilah berbeza dengan contoh nota peribahasa yang telah disediakan dan contoh hasil kerja kumpulan.  Jika didapati sama jawapan tersebut secara automatiknya terbatal.
  6. Keputusan pengadil adalah muktamad.
  7. Tarikh tutup kuiz ialah pada 2 November 2012.  Para pemenang akan diumumkan pada 3 November 2012 di blog ini.
  8. Penyampaian hadiah akan diadakan pada 5 November 2012.
  9. Sebarang pertanyaan bolehlah dikemukakan di dalam 'entry' ini atau berjumpa dengan cikgu di sekolah.
  10. Cara-cara menjawab soalan kuiz ialah dengan menulis nama lengkap di dalam ruang / petak komen bagi memudahkan cikgu mengenal pasti pemenang sekiranya menggunakan ID 'Anonymous' seperti berikut:                                                                        
         Contoh:
                         Nama     :  Aliza bt. Alias
                         Kelas      : 6 Kuning
                         Jawapan :

Selamat Mencuba!!!


Saturday 20 October 2012

Penggunaan Peribahasa Melayu dalam P & P ( Bah. 1 )

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia, penggunaan peribahasa tidak setakat diselitkan dalam bahagiaan sistem bahasa sahaja bahkan juga dalam puisi dan karangan.

A.  PENGGUNAAN PERIBAHASA DALAM PUISI MELAYU.

1.  Simpulan bahasa dalam pantun

Contoh:

a)  Hutang budi
     Ertinya:  Jasa baik yang diterima dan harus dibayar balik.

     Pisang emas dibawa belayar,
     Masak sebijik di atas peti,
     Hutang emas boleh dibayar,
     Hutang budi dibawa mati.
    
b) Lipas kudung
     Ertinya:  Orang yang pantas membuat sesuatu pekerjaan. (pergerakan yang cepat)

     Pisang kaki di Bunut Payung,
     Bercampur dengan daun pegaga,
     Cepat laksana si lipas kudung,
     Namun hidangan terlepas juga.

2.  Perumpamaan dalam pantun

Contoh:

     Seperti pungguk rindukan bulan
     Ertinya:  Merindui seseorang yang tidak mungkin dapat dimilikinya.

     Dua paya satu perigi,
     Seekor bujuk anak haruan,
     Tuan di sana saya di sini,
     Seperti pungguk rindukan bulan.

3.  Pepatah

Contoh:

     Mati semut kerana gula
     Ertinya:  Manusia dapat dilemahkan dengan pujukan serta budi bahasa yang baik.

     Kapal belayar di Singapura,
     Penuh muatan berisi padi,
     Mati semut kerana gula,
     Mati saya kerana budi.

4.  Pantun Peribahasa


Contoh:


a.  Ke kedai Abu membeli baja,

     Baja dibeli bersama tuba,
    Jangan selalu ponteng kerja,
    Jerat bingkas menanti tiba.

b.  Beras berasal dari ppadi,

     Pada paduka beras diutus,
     Habis harta kerana judi,
     Jahit sudah kelindan putus.

5.  Simpulan Bahasa dalam syair


Contoh:


a.  Wahai teman bijak bestari,

     Tuntutlah ilmu setiap hari,
     Akal panjang itulah dicari,
     Akal bulus cuba hindari.

b.  Apabila ilmu penuh di dada,

     Akal kancil janganlah ada,
     Elakkan sindiran sepedas lada,
     Budi bahasa janganlah tiada.  
  
    


Friday 19 October 2012

Video tak boleh upload.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Aduhai, macam mana ni? Video pengajaran dan pembelajaran kelas 6 Jingga tak dapat nak upload.  Dah banyak kali buat tapi tak boleh juga.  Masalah line internet ke apa?

Thursday 18 October 2012

Bidalan

Bidalan

1.  Definisi:

Susunan bahasa yang menarik dan mudah "melekat di mulut orang ramai".  Merupakan bahasa kiasan yang digunakan untuk melahirkan fikiran yang tajam, tepat, mengandungi perbandingan, teladan, pengajaran, nasihat, dan kata-kata hikmat.

2.  Bentuk/Ciri:

Tergolong dalam kumpulan peribahasa yang mempunyai erti selapis, iaitu susunan katanya tidak berselindung-selindung tetapi mengandungi maksud yang terus dan nyata.  Dikenali juga sebagai "madah pujangga" atau "kata orang tua-tua".

Contoh:


     i.  Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak

    ii.  Belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tua, berkata dengan yang pandai
   iii.  Cicir dipungut, hilang dicari
   iv.  Dalam berselam, cetek bertimba
    v.  Elok lenggang di tempat datar
   vi.  Genggam bara apai biar jadi arang
  vii.  Yang baik dipakai, yang buruk dibuang





Antara ahli kumpulan 4 dengan hasil kerja mereka.

Pepatah

Pepatah

1.  Definisi
Susunan bahasa yang mudah "melekat di mulut" dan menjadi sebutan yang dihayati.

2.  Bentuk
Terbentuk daripada sesuatu peristiwa yang berkaitan dengan kehidupan anggota masyarakat sehari-hari.  Mementingkan pengajaran dan pendidikan.  Banyak persamaan dengan bidalan.

Contoh:

a)   Ada padang, adalah belalang
      Ada air, adalah ikan
      Ada batang mati, adalah cendawan tumbuh

Ertinya:  Setiap kawasan atau tempat ada adat resamnya sendiri.

b)   Harimau mati meninggalkan belang
      Gajah mati meninggalkan gading
      Manusia mati meninggalkan nama

Ertinya:  Seseorang akan meninggalkan nama yang baik ataupun buruk apabila dia meninggal dunai kelak.


                                                                   Kumpulan 2




Inilah hasil kerja mereka.





Perumpamaan

Perumpamaan

1.  Definisi:
Susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberikan makna khas dan berlainan daripada apa yang dikatakan atau ditulis, atau yang membandingkan sesuatu benda dengan benda yang lain.

2.  Penjenisan:
a)  Perumpamaan yang menyebut perbandingan dengan menggunakan kata seperti, bak, macam, bagai, laksana, umpaman, ibarat dan sebagainya.  Biasanya perkataan ini digunakan pada pangkal ayat, walaupun ada juga yang digunakan di tengah ayat.  Contohnya:
     i.  Bagai anjing dengan kucing.
    ii.  Ibarat perahu takkan karam sebelah.
   iii.  Laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.
   iv.  Macam ular kekenyangan.
    v.  Seperti batu jatuh ke lubuk.
   vi.  Umpama buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang.
  vii.  Datang seperti ribut, pergi seperti semut.

b)  Perumpamaan yang tidak menyebut perbandingan.  Contohnya:
     i.  Anjing bercawat ekor.
    ii.  Biduk lalu kiambang bertaut.
   iii.  Cacing menelan naga.

3.  Bentuk/Ciri
Berasal daripada bahasa kiasan, perumpamaan merupakan salah satu daripada cabang peribahasa yang membawa maksud berlapis.  Membandingkan tingkaj laku manusia dengan keadaan sekitar atau alam.  Lebih panjang daripada simpulan bahasa dan lebih memberatkan perbandingan.
                    
                                                               Hasil kerja kumpulan 1


                         Antara ahli kumpulan 1 yang sedang menyiapkan tugasan mereka.

Wednesday 17 October 2012

Simpulan Bahasa

Simpulan Bahasa

1.  Definisi:  
Kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan   tertentu yang membawa maksud tertentu.  Maksudnya terdapat daripada perkara yang tersirat atau tersembunyi bukan daripada yang tersurat atau nyata.  Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.

2.  Penjenisan:  
a)  Simpulan bahasa yang mempunyai dua makna.

Contoh:
 i)  Ada angin:
1.  Mempunyai kemahuan atau keinginan untuk mendapatkan sesuatu.
2.  Berperangai luar biasa pada masa-masa tertentu.

ii)  Buah tangan:
1.  Hasil usaha
2.  Hadiah atau barang-barang yang dibawa pulang daripada perjalanan.

b)  Simpulan bahasa yang berlainan tetapi mempunyai makna yang sama.

Contoh:
  i)  Muka papan
 ii)  Mula tebal
iii)  Muka tembok
Ertinya:  Seseorang yang tidak mempunyai perasaan malu.

3.  Bentuk/Ciri:
a)  Terbentuk daripada penggunaan kata nama am.
  i.  Anak bapa
 ii.  Batu api
iii.  Lipas kudung

b)  Terbentuk daripada penggunaan kata kerja.
  i.  Ambil angin
 ii.  Bawa diri
iii.  Jaga mulut

c)  Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif.
  i.  Berat badan
 ii.  Buta hati
iii.  Jinak-jinak merpati

d)  Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas.
  i.  Abu Jahal
 ii.  Mat Jenin
iii. Pak Pandir

e)  Terbentuk daripada nilai kepercayaan
  i.  Air jampi
 ii.  Ilmu ghaib
iii.  Induk padi


                                                                    Kumpulan 3



Pengenalan Peribahasa


Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sebelum saya bercerita, memberi bahan pembelajaran, soalan-soalan latihan dan memaparkan beberapa aktiviti berkaitan Peribahasa dengan lebih lanjut, terlebih dahulu ingin saya mendefinisikan apakah Peribahasa.
Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, peribahasa bermaksud ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu seperti bidal dan pepatah.  
Wikipedia ( 2012) "Menurut Za'baperibahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu".
Wiktionary ( 2012 ) "Peribahasa adalah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu seperti bidal, pepatah, dan sebagainya".
Secara ringkasnya dapatlah dihuraikan bahawa Peribahasa, merupakan kelompok kata atau ayat yang digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai medium atau wacana untuk menyampaikan maksud, gambaran, hasrat atau kata-kata secara berlapis sama ada yang bersifat positif mahupun negatif.
Peribahasa terbahagi kepada empat bahagian iaitu Simpulan Bahasa, Perumpamaan, Pepatah dan Bidalan (bidal).

Pada ruangan ini, saya sertakan dua keping gambar yang mengandungi bahan-bahan rujukan saya. Insyaallah pada ruangan berikutnya saya akan beri beberapa contoh peribahasa mengikut bahagiannya.
Terima kasih.









Sunday 14 October 2012

Pengalamanku Membina Blog

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Ini merupakan pengalaman pertama bagi diriku untuk membina blog.  Kalau tak kerana tugasan, mungkin tak merasalah nak membuat blog.  Kata seorang rakan, "Bila kita membuat blog, secara langsung kita akan digelar BLOGGER".  

Apa yang membezakan saya dengan otai-otai blogger ialah saya masih baru baoleh dikatakan merangkak-rangkak dan meminta tunujk ajarku sifu kepada otai-otai yang ada di kelilingku.  Terutamanya kepada blogger kancil8349 atas tunjuk ajar yang ikhlas kepada kekandamu ini.

Terima kasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...