Peminat Setiaku

Wednesday 14 November 2012

Penggunaan Peribahasa Melayu dalam Pengajaran dan Pembelajaran ( Bha. 2 )

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Dalam bahagian kedua ini kita akan belajar penggunaan peribahasa dalam karangan.


B.  PENGGUNAAN PERIBAHASA DALAM KARANGAN

1.  Karangan Jenis Penerangan.

Contoh:

Pekerjaan sebagai nelayan tidak memerlukan kelulusan yang tinggi.  Mereka yang belajar sekerat jalan pun boleh menjadi nelayan berjaya jika mempunyai semangat berdiri atas kaki sendiri yang kuat.  Jika seseorang itu berazam untuk memajukan diri dan sanggup membanting tulang, kita berani bertaruh bahawa mereka akan berjaya dalam kerjaya ini.

2.  Karangan Jenis Pendapat.

Contoh:

Pada masa pemerintahan Jepun di negara ini, belakan makanan terpaksa disorok untuk mengelakkan daripada dirampas oleh tentera Kempetai (Polis Tentera Jepun) yang bertindak beraja di mata, bersultan di hati.  Oleh sebab masalah kekurangan makanan, batang tubuh penduduk negara ini pada waktu itu amat menyedihkan.  Pada saat-saat seperti itu, barang kemas tidak ada maknanya kerana yang lebih penting ialah langkah-langkah hendak mendapatkan ubat bagi mengubati penyakit akibat kekurangan zat makanan.

3.  Karangan Jenis Perbincangan.

Contoh:

Bagi golongan ibu bapa yang sanggup ikat perut untuk mengumpul harta kekayaan, mereka mesti mengubah pendirian mereka.  Alih langkah seperti ini penting sekali dilakukan.  Jika  mereka bersikap tangkai jering dan mengabaikan soal alas perut anak-anak yang akan ke sekolah, sebenarnya harta kekayaan mereka itu akan membawa padah semula pada diri mereka.

4.  Karangan Jenis Perbahasan

Contoh:

Keruntuhan akhlak dan kejatuhan nilai moral dalam kalangan angkatan baharu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan para pemimpin kita.  Pelbagai gerak laku yang tidak menyenangkan telah dilakukan oleh golongan belia yang dirasai telah melanggar batas masyarakat kita.  Berdasarkan keadaan tersebut nyatalah bahawa pendidikan akhlak patut dijadikan satu mata pelajaran wajib kepada para pelajar.  Dengan adanya penekanan tersebut, mungkin segala gejala yang mencolok mata dan yang bertentangan dengan nilai masyarakat kita dapat disekat dan seterusnya diatasi.

5.  Karangan Berbentuk Ucapan

Contoh:

Kita sedar, kaum gurulah yang bertanggungjawab untuk memberikan buah fikiran dan membuka mata hati kita untuk mengenali dunia kenyataan.  Gurulah yang membangunkan masyarakat dari segi pemikiran dan kemahiran.  Jasa guru amatlah besar.  Kita berharap para guru akan tetap dengan semangat dan hasrat ini kerana kalau harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, makan guru pula akan meninggalkan ilmu mereka kepada para pelajarnya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...