Peminat Setiaku

Sunday 18 November 2012

Syukur Alhamdulillah!

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Syukur alhamdulillah...akhirnya anakanda saya yang sulung dapat juga 5A dalam UPSR 2012 yang baru diumumkan sebentar tadi...semua perasaan bercampur baur...bimbang jika selama mula sambung belajar ni dia terabai..Takut kalau-kalau..Yang dikejar tak dapat yang kendong berciciran...hanya mengharapkan dia memberi tumpuan semasa saya mengajar dia di kelasnya...almaklum kalau dah cikgu yang mengajar merangkap ibu...bimbang lain jadinya...hahha...


Apabila dia sudah mula leka bermain dan menghadap komputer...ber'Facebook' dan mengemaskini blognya..saya akan mula menasihatkan agar dia tidak leka..."Untuk berjaya anakku, bukannya mudah...Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya...maka belajarlah lebih giat..lupakan sekejap Facebookmu...permainan internetmu dan sebagainya..lebihkan masa belajarmu..belajar..belajar..dan belajar...Ada kalanya saya berasa terlalu mengongkong dan menekan dia untuk belajar lebih giat lagi...kerana sebagai ibu dan bapa  bergelar pendidik, kita mahukan anak terdidik sebagaimana yang kita harapkan....bagaimana acuan begitulah kuihnya...mengikut jejak langkah orang tuanya..

Kekadang kelihatan pada riak mukanya yang seakan memberontak kerana letih menghadap buku. Tapi anakku inilah kesudahannya...akhirnya usahamu itu tidak sia-sia...penat lelahmu berbalas jua...Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepi, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian...

Alhamdulillah..ingat anakku, ini hanya permulaan...jadikan ini sebagai penanda aras untuk mula menempah kejayaan.  Jangan lupa Allah, jangan abaikan nasihat ibu dan ayah, jangan ingkar pada guru-guru. Semoga kejayaan akan sentiasa bersamamu.




Inilah anakandaku tercinta Tengku Irfan Hazim b. Tengku Osmadi


                                                  



Thursday 15 November 2012

JAUH PERJALANAN LUAS PEMANDANGAN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua...



Peribahasa :  Jauh Perjalanan Luas Pemandangan

Ertinya: Jika kita banyak merantau banyaklah perkara yang dapat kita lihat.


Perkongsian percutian saya bersama pembaca semua.

Cuti hujung tahun dah pun bermula.  Bagi yang balik kampung tu, selama balik kampung dan semoga selamat semuanya.

Saya pun tak ketinggalan untuk balik ke kampung halaman saya di Tuaran sebelum balik ke kampung suami saya di Kelantan.  

Dalam sibuk-sibuk nak siapkan assignment, saya sempat lagi bercuti bersama suami dan anak-anak di Kudat.  Kami menginap di Kudat Golf & Marina Resort.  Peluang yang ada kami gunakan untuk melawat ke sekitar Pekan Kudat dan juga antara tempat pelancongan yang terkenal di negeri Sabah iaitu "Tip of Borneo." Untuk maklumat lanjut tentang tempat tu, kalian boleh layari http://www.sabahtourism.com/sabah-malaysian-borneo/en/destination/76-the-tip-of-borneo-tanjung-simpang-mengayau/ dan kalau nak menginap di Kudat Golf & Marina Resort layari http://www.kudatgolfmarinaresort.com/ 

Jangan lupa bawa bersama Kad Matrik kita sebab boleh dapat potongan harga bilik penginapan. Hehehe...

Di bawah ni saya kongsi beberapa keping gambar percutian saya. 












Kalau nak tengok lagi banyak gambar bolehlah layari facebook saya.  Kalau belum jadi rakan FB saya, bolelah 'add' saya di http://www.facebook.com/rusnahyuss.jumat

Terima kasih.



Wednesday 14 November 2012

Penggunaan Peribahasa Melayu dalam Pengajaran dan Pembelajaran ( Bha. 2 )

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Dalam bahagian kedua ini kita akan belajar penggunaan peribahasa dalam karangan.


B.  PENGGUNAAN PERIBAHASA DALAM KARANGAN

1.  Karangan Jenis Penerangan.

Contoh:

Pekerjaan sebagai nelayan tidak memerlukan kelulusan yang tinggi.  Mereka yang belajar sekerat jalan pun boleh menjadi nelayan berjaya jika mempunyai semangat berdiri atas kaki sendiri yang kuat.  Jika seseorang itu berazam untuk memajukan diri dan sanggup membanting tulang, kita berani bertaruh bahawa mereka akan berjaya dalam kerjaya ini.

2.  Karangan Jenis Pendapat.

Contoh:

Pada masa pemerintahan Jepun di negara ini, belakan makanan terpaksa disorok untuk mengelakkan daripada dirampas oleh tentera Kempetai (Polis Tentera Jepun) yang bertindak beraja di mata, bersultan di hati.  Oleh sebab masalah kekurangan makanan, batang tubuh penduduk negara ini pada waktu itu amat menyedihkan.  Pada saat-saat seperti itu, barang kemas tidak ada maknanya kerana yang lebih penting ialah langkah-langkah hendak mendapatkan ubat bagi mengubati penyakit akibat kekurangan zat makanan.

3.  Karangan Jenis Perbincangan.

Contoh:

Bagi golongan ibu bapa yang sanggup ikat perut untuk mengumpul harta kekayaan, mereka mesti mengubah pendirian mereka.  Alih langkah seperti ini penting sekali dilakukan.  Jika  mereka bersikap tangkai jering dan mengabaikan soal alas perut anak-anak yang akan ke sekolah, sebenarnya harta kekayaan mereka itu akan membawa padah semula pada diri mereka.

4.  Karangan Jenis Perbahasan

Contoh:

Keruntuhan akhlak dan kejatuhan nilai moral dalam kalangan angkatan baharu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan para pemimpin kita.  Pelbagai gerak laku yang tidak menyenangkan telah dilakukan oleh golongan belia yang dirasai telah melanggar batas masyarakat kita.  Berdasarkan keadaan tersebut nyatalah bahawa pendidikan akhlak patut dijadikan satu mata pelajaran wajib kepada para pelajar.  Dengan adanya penekanan tersebut, mungkin segala gejala yang mencolok mata dan yang bertentangan dengan nilai masyarakat kita dapat disekat dan seterusnya diatasi.

5.  Karangan Berbentuk Ucapan

Contoh:

Kita sedar, kaum gurulah yang bertanggungjawab untuk memberikan buah fikiran dan membuka mata hati kita untuk mengenali dunia kenyataan.  Gurulah yang membangunkan masyarakat dari segi pemikiran dan kemahiran.  Jasa guru amatlah besar.  Kita berharap para guru akan tetap dengan semangat dan hasrat ini kerana kalau harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, makan guru pula akan meninggalkan ilmu mereka kepada para pelajarnya.


Tuesday 6 November 2012

Lama tertangguh.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dah beberapa hari tak menjenguk blog ni disebabkan tugasan hakiki pada akhir tahun yang menuntut komitmen dan juga menyiapkan tugasan-tugasan pembelajaran UPSI.  Walau bagaimanapun Nota dan Pembelajaran Peribahasa akan cikgu sambung sedikit masa lagi.  Teruskan melayari dan membaca nota yang telah cikgu sediakan.

Jumpa lagi.

Friday 2 November 2012

Tahniah!!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada para pemenang Kuiz Peribahasa.  Semoga kalian memperoleh manfaat daripada kuiz tersebut.  Layarilah terus blog cikgu ni untuk mendapat ilmu tentang peribahasa.

Terima kasih.


                           Beberapa keping gambar semasa majlis penyampaian hadiah Kuiz Peribahasa.










Terima kasih kepada Cikgu Mohd. Umrah juga teman blogger empunya www.kancil8349.blogspot.com
kerana sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.



                                   Muka gembira menang dan dapat hadiah.  Tahniah semuanya.

Thursday 1 November 2012

Penutupan Kuiz Peribahasa

PENUTUPAN KUIZ PERIBAHASA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Dengan ini cikgu umumkan bahawa Kuiz Peribahasa telah pun ditutup secara rasminya.
Para pemenang cikgu akan umumkan esok di tapak perhimpunan secara tertutup.

Terlebih dahulu cikgu ucapkan terima kasih atas penyertaan semua dan maaf kepada murid-murid yang tidak dapat turur serta atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan tahniah kepada para pemenang.



Harap maklum!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...